''::Laa Izzata Illa Bil Islam::Wala Islama Illa Bi Syariah::Wala Syariata Illa Bi Daulah::"




Monday, August 30, 2010

Program Ihya' Ramadhan 1431H ~IPGKDRI





Kehadiran bulan Ramadhan tahun 1431H ini sekali lagi tepat dengan suasana dan keadaan semasa. Kesempatan untuk berpesta ibadah, untuk melakukan muhasabah, membersihkan jiwa serta mendidik diri perlu dimanfaatkan oleh seluruh bakal guru di Institut Perguruan Kampus Dato' Razali Ismail.

Biro Agama,Kerohanian dan Moral (BADAM) telah mengadakan program tahunan di IPGKDRI sepanjang bulan Ramadhan yang mulia ini. Seperti mana Ramadhan-Ramadhan sebelum ini pengisian sepanjang Ihya' Ramadhan pada tahun ini termasuklah:


1)Tadarrus Al-Quran





Pada 11 Ogos 2010 bersamaan 1 Ramadhan 1431H, program tadarrus telah diadakan di Balai Islam Al-Muttaqin sepanjang Bulan Ramadhan.Ibadat ini menjadi kelaziman di bulan Ramadhan yang bertepatan dengan bulan ramadhan yang dianggap sebagai “Bulan Al-Quran”. Tujuan tadarrus yang diadakan bukan semata-mata untuk mengkhatamkan Al-Quran, tetapi untuk sama-sama mengawasi bacaan itu daripada sebarang kesilapan yang dibaca oleh setiap ahli usrah. Hal ini adalah untuk menjaga hak-hak Al-Quran dari segi tajwid, makhraj dan sebagainya.Aktiviti ini dijalankan di Balai Islam Al-Muttaqin selepas selesainya solat Zohor. Program ini melibatkan ahli usrah Kazoku. Kumpulan usrah Kazoku terdiri daripada 14 kumpulan dan naqib bagi setiap kumpulan usrah mengendalikan mad’u masing-masing untuk program tadarrus ini.



2)Ifthar Jamie kali pertama di Balai Islam Al-Muttaqin

Program ini diadakan pada 20 Ogos bersamaan 10 Ramadhan 1431H di Balai Islam.

  • Bagi sambutan Ifthar ini bakal guru mengambil kesempatan yang sangat baik untuk mengeratkan lagi ukhuwwah, serta memperkukuh kesatuan hati sesama mereka.





Hadith riwayat Ibn Majah dan al‐Hakim, daripada Ibn Umar bahawa Nabi bersabda maksudnya: " Sesungguhnya bagi orang yang berpuasa ketika berbuka mempunyai doa mustajab yang tidak ditolak."




3)Ifthar Perdana kali kedua


Program ini berlangsung pada hari Isnin 30 Ogos bersamaan 20 Ramadhan 1431H.

  • Sempena Ifthar Perdana,Majlis Khatam Al-Quran juga diadakan






  • Majlis berbuka puasa bersama-sama ini dapat lagi mengeratkan ukhuwwah dan memupuk semangat berjemaah.








"Wahai orang-orang yg beriman! Diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa" (2:183)

Jelas sekali bahawa puasa yang ditunaikan dengan sebenar-benarnya, zahir dan batin akan mampu mengangkat seseorang mukmin itu ke darjat taqwa. Taqwa adalah satu tingkat yg tinggi dan untuk mencapainya ia memerlukan kesungguhan dari kita agar kita mendapat taqwa yang dijanjikan oleh Allah tersebut.



Friday, August 27, 2010

Nuzul al-Quran dan Lailatul Qadar

Nuzul Al-Quran

Peristiwa nuzul al-Quran menjadi satu rakaman sejarah dalam kehidupan Nabi SAW hingga seterusnya berperingkat-peringkat menjadi lengkap sebagaimana kitab al-Quran yang ada pada kita hari ini. Peristiwa Nuzul al-Quran berlaku pada malam Jumaat, 17 Ramadan, tahun ke-41 daripada keputeraan Nabi Muhamad SAW. Perkataan ‘Nuzul’ bererti turun atau berpindah dari atas ke bawah. Bila disebut bahawa al-Quran adalah mukjizat terbesar Nabi SAW maka ianya memberi makna terlalu besar kepada umat Islam terutamanya yang serius memikirkan rahsia al-Quran.

‘Al-Quran’ bererti bacaan atau himpunan. Di dalamnya terhimpun ayat yang menjelaskan pelbagai perkara meliputi soal tauhid, ibadat, jinayat, muamalat, sains, teknologi dan sebagainya. Kalimah al-Quran, sering dicantumkan dengan rangkai kata ‘al-Quran mukjizat akhir zaman’ atau ‘al-Quran yang mempunyai mukjizat’. Malah inilah sebenarnya kelebihan al-Quran tidak ada satu perkara pun yang dicuaikan atau tertinggal di dalam al-Quran. Dengan lain perkataan segalanya terdapat di dalam al-Quran. Firman Allah:

Dan tidak seekor pun binatang yang melata di bumi, dan tidak seekor pun burung yang terbang dengan kedua sayapnya, melainkan mereka umat-umat seperti kamu. Tiada Kami tinggalkan sesuatu pun di dalam kitab Al-Quran ini; kemudian mereka semuanya akan dihimpunkan kepada Tuhan mereka (untuk dihisab dan menerima balasan). (Al-An’am:38)


al-Quran adalah hidayah, rahmat, syifa, nur, furqan dan pemberi penjelasan bagi manusia.. Segala isi kandungan al-Quran itu benar. Al-Quran juga dikenali sebagai Al-Nur bererti cahaya yang menerangi, al-Furqan bererti yang dapat membezakan di antara yang hak dan batil dan al-Zikr pula bermaksud yang memberi peringatan.

Dalam sejarah kehidupan Nabi SAW ayat al-Quran yang mula-mula diturunkan Allah kepada Nabi Muhammad SAW melalui perantaraan malaikat Jibrail ialah lima ayat pertama daripada surah Al-‘Alaq. maksudnya:

”Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhan mu yang menciptakan (sekalian makhluk), Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; Bacalah, dan Tuhan mu Yang Maha Pemurah, -Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, -Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.” (al-‘alaq:1-5)

Hubungan Lailatul Qadar dan Nuzul al-Quran

Lailatul Qadar pula ialah suatu malam pada bulan Ramadhan yang begitu istimewa sekali fadilatnya. Malam al-Qadar adalah suatu malam yang biasanya berlaku pada 10 akhir Ramadhan dan amalan pada malam itu lebih baik baik dari 1000 bulan.

Apakah kaitannya malam al-Qadar dengan nuzul al-Quran? Sebenarnya al-Quran dan malam Lailatulqadar mempunyai hubungan yang rapat antara satu sama lain sebagaimana yang diterangkan di dalam kitab Allah dan hadis Rasulullah SAW di antaranya firman Allah SWT

Maksudnya: Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar, Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu? Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut); Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar! (al-Qadar:1-5)

Mengikut satu pandangan, ayat ini diturunkan berdasarkan satu riwayat dari Ali bin Aurah, pada satu hari Rasulullah SAW telah menyebut 4 orang Bani Israel yang telah beribadah kepada Allah selama 80 tahun. Mereka sedikit pun tidak derhaka kepada Allah, lalu para sahabat kagum dengan perbuatan mereka itu. Jibril datang memberitahu kepada Rasulullah SAW menyatakan bahawa Allah SWT menurunkan yang lebih baik dari amalan mereka. Jibril pun membaca surah al-Qadar dan Jibril berkata kepada Rasulullah ayat ini lebih baik daripada apa yang engkau kagumkan ini menjadikan Rasulullah SAW dan para sahabat amat gembira.

Dalam hadis yang lain Aishah juga meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda bersedialah dengan bersungguh-sungguh untuk menemui malam Lailatul qadar pada malam-malam yang ganjil dalam 10 malam yang akhir daripada bulan Ramadhan.

Friday, August 20, 2010

Adab berbuka puasa


ADAB berbuka puasa ialah menyegerakan berbuka apabila masuk waktu. Sahl bin Sa’ad melaporkan, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Manusia sentiasa dalam kebaikan selagi mereka menyegerakan berbuka puasa.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Berdoa ketika berbuka

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya bagi orang berpuasa itu, doa yang tidak ditolak ketika dia berbuka.” (Hadis riwayat Ibn Majah)

Doa daripada Rasulullah SAW ketika berbuka dan disunatkan kita membaca: “Hilanglah dahaga, basahlah peluh (hilang kekeringan) dan tetaplah pahala, insya-Allah.” (Hadis riwayat Abu Daud)

Berdoa kepada orang yang menjamu kita berbuka.

Kata Anas: “Rasulullah SAW pernah datang ke (rumah) Saad bin Ubadah. Dia menghidangkan roti dan minyak. Baginda makan dan berkata: Mereka yang berpuasa berbuka puasa di sisi kamu, mereka yang baik makan makanan kamu dan malaikat akan berselawat ke atas kamu.” (Hadis riwayat Abu Daud)

Berbuka puasa dengan rutab, tamar atau air

Rutab ialah buah kurma yang sudah masak sebelum menjadi tamar kering. Ia lembut dan manis, manakala tamar ialah buah kurma yang sudah kering. Anas berkata:

“Rasulullah SAW berbuka puasa dengan beberapa biji rutab sebelum bersolat. Jika tiada rutab, maka dengan beberapa biji tamar dan jika tiada tamar, maka beliau minum beberapa teguk air.” (Hadis riwayat Ahmad dan Tirmizi)

Makan dengan sederhana

Orang berpuasa digalakkan tidak makan berlebihan ketika berbuka bertepatan dengan firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan makan dan minumlah kamu, dan jangan berlebih-lebihan. Sesungguhnya Dia tidak suka orang yang berlebih-lebihan.” (Surah al-A’raf, ayat 31)

Segerakan solat Maghrib

Selepas berbuka dengan tamar atau air, jika makanan belum dihidangkan, umat Islam perlu segera menunaikan solat. Namun, jika makanan sudah dihidangkan, maka makruh meninggalkan makanan untuk menunaikan solat.

Diriwayatkan daripada Abdullah bin Umar, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Apabila dihidangkan makan malam seseorang kamu, sedangkan solat (jemaah) sudah didirikan, maka mulailah dengan makan malam. Janganlah dia tergopoh-gapah sehinggalah dia selesa.” (hadis riwayat Bukhari dan Muslim

Monday, August 9, 2010

Marhaban Ya Ramadhan


Ramadhan datang menjenguk kita.Tetamu mulia yang sentiasa dirindui kehadirannya.Hembusan bayu Ramadhan kembali mendamaikan jiwa-jiwa para mukmin.Bahkan penghuni syurga juga terpinga-pinga dengan hembusan “muthirah” yang menerpa ke pintu syurga yang kini dibuka selama-lamanya. “Happy Blessed Ramadhan” kepada seluruh para sahabat pembaca,para followers dan para sahabat bloggers yang selalu singgah di sini.Semoga kita diberi kekuatan untuk beribadat kepada Allah dan bertaqarrub kepadaNYA.Dan ibadah puasa kita pada kali ini mendapat kedudukan yang berkualiti di sisi Allah serta mandapat keredhaanNYA.Ihtisab menuntut keikhlasan dan kesungguhan kita terhadap Allah.Maka Allah sentiasa melihat dan memerhati Ramadhan kita.Dia yang sentiasa menanti ketaatan hambaNya.Dia yang menyaksikan betapa hambaNya bersungguh-sunguh dan berlumba-lumba dalam mencari dan mencapai keredahaanNya.

Bulan Ramadhan, bulan dilipatgandakan pahala dan bulan diampuninya dosa-dosa. Beribadah sunnah di bulan ini pahalanya sama dengan mengerjakan pahala ibadah wajib. Kemudian Allah juga memberikan kemuliaan berupa tiga hal iaitu 10 hari pertama adalah rahmat, 10 hari kedua adalah ampunan, dan 10 hari terakhir adalah terbebas dari api neraka. Dan dibulan ini ada satu malam yang lebih baik dari 1000 bulan.

Barang siapa yang tidak menyia-nyiakan Bulan Ramadhan maka sesuai dengan janji Allah diakhir Bulan Ramadhan akan di jadikan sebagai insan yang taqwa, dan dikembalikan kepada kesucian diri, dan mendapatkan hadiah dari Allah berupa Arrayan iaitu pintu surga yang dikhususkan untuk hamba-hamba Allah yang menjalankan puasa dengan benar. Mudah-mudahan Ramadhan kali ini bermakna buat kita semua..

Related Posts with Thumbnails