''::Laa Izzata Illa Bil Islam::Wala Islama Illa Bi Syariah::Wala Syariata Illa Bi Daulah::"




برمذاکره

Gambaran kiamat


1.      Selepas Malaikat Israfil meniup sangkakala (bentuknya seperti tanduk besar) yang memekakkan telinga, seluruh makhluk mati kecuali Izrail & beberapa malaikat yg lain. Selepas itu, Izrail pun mencabut nyawa malaikat yg tinggal dan akhirnya nyawanya sendiri.

2.      Selepas semua makhluk mati, Tuhan pun berfirman mafhumnya "Kepunyaan siapakah kerajaan hari ini?" Tiada siapa yang menjawab. Lalu DIA sendiri menjawab dengan keagunganNya"Kepunyaan Allah Yang Maha Esa lagi Maha Perkasa". Ini menunjukkan kebesaran & keagunganNya sebagai Tuhan yg Maha Kuasa lagi Maha Kekal Hidup, tidak mati.

3.      Selepas 40 tahun, Malaikat Israfil a.s. dihidupkan, seterusnya meniup sangkakala untuk kali ke-2, lantas seluruh makhluk hidup semula di atas bumi putih, berupa padang Mahsyar (umpama padang Arafah) yang rata tidak berbukit atau bulat seperti bumi.

4.      Sekelian manusia hidup melalui benih anak Adam yg disebut "Ajbuz Zanbi" yang berada di hujung tulang belakang mereka. Hiduplah manusia umpama anak pokok yg kembang membesar dari biji benih.

5.      Semua manusia dan jin dibangkitkan dalam keadaan telanjang dan hina. Mereka tidak rasa malu kerana pada ketika itu hati mereka sangat takut dan bimbang tentang nasib & masa depan yang akan mereka hadapi kelak.

6.      Lalu datanglah api yang berterbangan dengan bunyi seperti guruh yang menghalau manusia, jin dan binatang ke tempat perhimpunan besar. Bergeraklah mereka menggunakan tunggangan (bagi yang banyak amal), berjalan kaki (bagi yang kurang amalan) dan berjalan dengan muka (bagi yang banyak dosa). Ketika itu, ibu akan lupakan anak, suami akan lupakan isteri, setiap manusia sibuk memikirkan nasib mereka.

7.      Setelah semua makhluk dikumpulkan, matahari dan bulan dihapuskan cahayanya, lalu mereka tinggal dalam kegelapan tanpa cahaya. Berlakulah huru-hara yang amat dahsyat.

8.      Tiba-tiba langit yang tebal pecah dengan bunyi yang dahsyat, lalu turunlah malaikat sambil bertasbih kepada Allah Ta'ala. Seluruh makhluk terkejut melihat saiz malaikat yang besar dan suaranya yang menakutkan.

9.      Kemudian matahari muncul semula dengan kepanasan yang berganda. Hingga dirasakan seakan-akan matahari berada sejengkal dari atas kepala mereka. Ulama berkata jika matahari naik di bumi seperti keadaannya naik dihari Kiamat nescaya seluruh bumi terbakar, bukit-bukau hancur dan sungai menjadi kering. Lalu mereka rasai kepanasan dan bermandikan peluh sehingga peluh mereka menjadi lautan. Timbul atau tenggelam mereka bergantung pada amalan masing-masing. Keadaan mereka berlanjutan sehingga 1000 tahun.

10.  Terdapat satu kolam kepunyaan Nabi Muhammad s.a.w. bernama Al-Kausar yang mengandungi air yang hanya dapat diminum oleh orang mukmin sahaja. Orang bukan mukmin akan dihalau oleh malaikat yang menjaganya. Jika diminum airnya tidak akan haus selama-lamanya. Kolam ini berbentuk segi empat tepat sebesar satu bulan perjalanan. Bau air kolam ini lebih harum dari kasturi, warnanya lebih putih dari susu dan rasanya lebih sejuk dari embun. Ia mempunyai saluran yang mengalir dari syurga.

11.  Semua makhluk berada bawah cahaya matahari yang terik kecuali 7 golongan yang mendapat teduhan dari Arasy. Mereka ialah:

a.      Pemimpin yang adil.
b.      Orang muda yang taat kepada perintah Allah.
c.       Lelaki yang terikat hatinya dgn masjid.
d.      Dua orang yang bertemu kerana Allah dan berpisah kerana Allah.
e.       Lelaki yang diajak oleh wanita berzina, tetapi dia menolak dengan berkata "Aku takut pada Allah".
f.        Lelaki yg bersedekah dengan bersembunyi (tidak diketahui orang ramai).
g.      Lelaki yang suka bersendirian mengingati Allah lalu mengalir air matanya kerana takutkan Allah.

12.  Oleh kerana tersangat lama menunggu di padang mahsyar, semua manusia tidak tahu berbuat apa melainkan mereka yang beriman, kemudian mereka terdengar suara "pergilah berjumpa dengan para Nabi". Maka mereka pun pergi mencari para Nabi. Pertama sekali kumpulan manusia ini berjumpa dengan Nabi Adam tetapi usaha mereka gagal kerana Nabi Adam a.s menyatakan beliau juga ada melakukan kesalahan dengan Allah Ta'ala. Maka kumpulan besar itu kemudiannya berjumpa Nabi Nuh a.s., Nabi Ibrahim a.s., Nabi Musa a.s., Nabi Isa a.s. (semuanya memberikan sebab seperti Nabi Adam a.s.) dan akhirnya mereka berjumpa Rasullullah saw. Jarak masa antara satu nabi dengan yang lain adalah 1000 tahun perjalanan.

13.  Lalu berdoalah baginda Nabi Muhammad s.a.w. ke hadrat Allah Ta'ala. Lalu diperkenankan doa baginda.

14.  Selepas itu, terdengar bunyi pukulan gendang yang kuat hingga menakutkan hati semua makhluk kerana mereka sangka azab akan turun. Lalu terbelah langit, turunlah arasy Tuhan yang dipikul oleh 8 orang malaikat yang sangat besar (besarnya sejarak perjalanan 20ribu tahun) sambil bertasbih dengan suara yang amat kuat sehingga 'Arasy itu tiba dibumi.

15.  'Arasy ialah jisim nurani yang amat besar berbentuk kubah (bumbung bulat) yang mempunyai 4 batang tiang yang sentiasa dipikul oleh 4 orang malaikat yang besar dan gagah. Dalam bahasa mudah ia seumpama istana yang mempunyai seribu bilik yang menempatkan jutaan malaikat di dalamnya. Ia dilingkungi embun yang menghijab cahayanya yang sangat kuat.

16.  Kursi iaitu jisim nurani yang terletak di hadapan Arasy yang dipikul oleh 4 orang malaikat yang sangat besar. Saiz kursi lebih kecil dari 'Arasy umpama cincin ditengah padang . Dalam bahasa mudah ia umpama singgahsana yang terletak dihadapan istana.

17.  Seluruh makhluk pun menundukkan kepala kerana takut. Lalu dimulakan timbangan amal.Ketika itu berterbanganlah kitab amalan masing-masing turun dari bawah Arasy menuju ke leher pemiliknya tanpa silap dan tergantunglah ia sehingga mereka dipanggil untuk dihisab. Kitab amalan ini telah ditulis oleh malaikat Hafazhah / Raqib & 'Atid / Kiraman Katibin.

18.  Manusia beratur dalam saf mengikut Nabi dan pemimpin masing- masing. Orang kafir & munafik beratur bersama pemimpin mereka yang zalim. Setiap pengikut ada tanda mereka tersendiri untuk dibezakan.

19.  Umat yang pertama kali dihisab adalah umat Nabi Muhammad s.a.w., dan amalan yang pertama kali dihisab adalah solat. Sedangkan hukum yang pertama kali diputuskan adalah perkara pertumpahan darah.

20.  Apabila tiba giliran seseorang hendak dihisab amalannya, malaikat akan mencabut kitab mereka lalu diserahkan, lalu pemiliknya mengambil dengan tangan kanan bagi orang mukmin dan dengantangan kiri jika orang bukan mukmin.

21.  Semua makhluk akan dihisab amalan mereka menggunakan satu
Neraca
Timbangan
. Saiznya amat besar, mempunyai satu tiang yang mempunyai lidah dan 2 daun. Daun yang bercahaya untuk menimbang pahala dan yang gelap untuk menimbang dosa.

22.  Acara ini disaksikan oleh Nabi Muhammad s.a.w. dan para imam 4 mazhab untuk menyaksikan pengikut masing-masing dihisab.

23.  Perkara pertama yang diminta ialah Islam. Jika dia bukan Islam, maka seluruh amalan baiknya tidak ditimbang bahkan amalan buruk tetap akan ditimbang.

24.  Ketika dihisab, mulut manusia akan dipateri, tangan akan berkata- kata, kaki akan menjadi saksi. Tiada dolak-dalih dan hujah tipuan. Semua akan di adili oleh Allah Ta'ala dengan Maha Bijaksana.

25.  Setelah amalan ditimbang, mahkamah Mahsyar dibuka kepada orang ramai untuk menuntut hak masing-masing dari makhluk yang sedang dibicara sehinggalah seluruh makhluk berpuas hati dan dibenarkannya menyeberangi titian sirat.

26.  Syafaat Nabi Muhammad s.a..w. di akhirat :

a.      Meringankan penderitaan makhluk di Padang Mahsyar dengan mempercepatkan hisab.
b.      Memasukkan manusia ke dalam syurga tanpa hisab.
c.       Mengeluarkan manusia yang mempunyai iman sebesar zarah dari neraka.

Semua syafaat ini tertakluk kepada keizinan Allah Ta'ala.

27.  Para nabi dan rasul serta golongan khawas juga diberikan izin oleh Tuhan untuk memberi syafaat kepada para pengikut mereka. Mereka ini berjumlah 70 000. Setiap seorang dari mereka akan mensyafaatkan 70 000 orang yang lain.

28.  Setelah berjaya dihisab, manusia akan mula berjalan menuju syurga melintasi jambatan sirat.Siratul Mustaqim ialah jambatan (titian) yang terbentang dibawahnya neraka. Lebar jambatan ini adalah seperti sehelai rambut yang dibelah tujuh dan ia lebih tajam dari mata pedang. Bagi orang mukmin ia akan dilebarkan dan dimudahkan menyeberanginya.

29.  Fudhail bin Iyadh berkata perjalanan di Sirat memakan masa 15000 tahun. 5000 tahun menaik, 5000 tahun mendatar dan 5000 tahun menurun. Ada makhluk yang melintasinya seperti kilat, seperti angin, menunggang binatang korban dan berjalan kaki. Ada yang tidak dapat melepasinya disebabkan api neraka sentiasa menarik kaki mereka, lalu mereka jatuh ke dalamnya.

30.  Para malaikat berdiri di kanan dan kiri sirat mengawasi setiap makhluk yang lalu. Setiap 1000 orang yang meniti sirat, hanya seorang sahaja yang Berjaya melepasinya. 999 orang akan terjatuh ke dalam neraka.


Wallahu A’lam Bissowab.

Rujukan:
Kitab Aqidatun Najin karangan Syeikh Zainal Abidin Muhammad Al – Fathani.


JK Dakwah&Tarbiyyah
PERMAI'10


Ajaklah Ke Jalan Tuhanmu Dengan Hikmah



ٱدۡعُ إِلَىٰ سَبِيلِ رَبِّكَ بِٱلۡحِكۡمَةِ وَٱلۡمَوۡعِظَةِ ٱلۡحَسَنَةِ‌ۖ وَجَـٰدِلۡهُم بِٱلَّتِى هِىَ أَحۡسَنُ‌ۚ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعۡلَمُ بِمَن ضَلَّ عَن سَبِيلِهِۦ‌ۖ وَهُوَ أَعۡلَمُ بِٱلۡمُهۡتَدِين

“Ajaklah ke jalan Tuhanmu dengan hikmah, dan peringatan yang baik serta debatlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya, Tuhanmulah Yang Maha Tahu siapa yang tersesat dari jalan-Nya dan Yang Maha tahu siapa yang mendapat petunjuk”.
 (TQS an-Nahl [16] : 125)
  

وَمَنۡ أَحۡسَنُ قَوۡلاً۬ مِّمَّن دَعَآ إِلَى ٱللَّهِ وَعَمِلَ صَـٰلِحً۬ا وَقَالَ إِنَّنِى مِنَ ٱلۡمُسلِمِينَ 

“ Dan siapakah yang lebih bagus pernyataannya daripada orang yang mengajak kepada Allah dan beramal shalih, serta menyatakan: ‘Aku adalah termasuk orang-orang muslim’.
(TQS. Fushilat [41] : 33)


 
 وَأَنَّ هَـٰذَا صِرَٲطِى مُسۡتَقِيمً۬ا فَٱتَّبِعُوهُ‌ۖ وَلَا تَتَّبِعُواْ ٱلسُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُمۡ عَن سَبِيلِهِۦ‌ۚ ذَٲلِكُمۡ وَصَّٮٰكُم بِهِۦ لَعَلَّڪُمۡ تَتَّقُونَ

“Dan sesungguhnya ini jalan Ku yang lurus, maka ikutilah kamu akannya dan jangan kamu mengikuti jalan-jalan (yang lain) maka ia mencerai berikan kamu dari jalanNya, yang demikian itu diperintahkan kamu denganNya supaya kamu bertakwa”.
(Al-An-am [6] :153)


Bersiap di Atas Jambatan


“Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.”
(surah al-Fatihah ayat 1)

Selawat dan salam ke atas junjungan mulia Muhammad sallallaahu ‘alayhi wa sallam penghulu anbiya’ dan para rasul.


MELALUI JAMBATAN. PANJANG KAH?



Kamu yang membaca, sekarang ini kita sedang berada di dunia. Namun, tiada siapa dapat memastikan kita akan berada di sini sehingga bila.

Kerana dunia ini sementara.

Bukankah dunia ini ini jambatan?

Hala tuju kita yang sebenar bukan di sini.

Dunia ini hanyalah sebuah daerah sempit untuk kita mengutip bekal sebelum di akhirat nanti bekalan kita itu akan dipunggah.

Banyakkah yang dibawa?

Kebaikan di sebelah kanan, seimbangkah dengan maksiat yang memberati kiri?


“Dialah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: Siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya. dan Dia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat)…” (surah al-Mulk ayat 2)

MALU DAN TAKUT

Saya, tentu saya tidak sekadar malu jika yang hendak dipertontonkan di hadapan Dia nanti tidak lebih daripada maksiat yang hanyir, dan berlekit-lekit.

Yang menyebabkan kulit tubuh tertanggal di sana nanti, adalah kerana keseronokan di sini yang menipu.

Yang menjadikan badan tersalai dalam julangan api yang menggunung, semuanya berpunca kelalaian diri sebagai hamba Ilahi.

Sedih?

Di sana, menangis dengan darah mata tidak lagi berguna. Merayu sehingga putus lidah pun tidak akan mengubah apa-apa.

Takut?

Sinilah tempatnya. Di atas jambatan ini.

Jangan bertangguh.

Mari bersegera kepada-Nya.

“Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedangkan mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya).”
(surah A-li Imran ayat 135) 



Kisah Mereka, Siapakah Yang Percaya?

“Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.” (surah al-Fatihah ayat 1)

Selawat dan salam ke atas junjungan mulia Muhammad sallallaahu ‘alayhi wa sallam penghulu anbiya’ dan para rasul.

(artikel ini tak lah panjang sangat, apa kata anda ruangkan masa membaca setiap perkataannya. Terima kasih untuk diri anda sendiri.)

HIDUP YANG BERMUSIM


Saya sangat selesa untuk mengibaratkan hidup kita ibarat putaran alam yang diwakili empat musim.

Ada musim panas, musim sejuk, musim bunga dan musim luruh. Kehidupan kita ibarat musim-musim ini.

Kadang-kadang kita berasa sangat suka dengan sesuatu. Ketika itu, semua yang di sekeliling kita seperti sedang tersenyum. Seperti bunga yang memekar.

Pada masa yang lain pula kita terasa sangat membenci sesuatu. Alam terasa panas. Semua yang berlaku tidak dapat kita hadapi dengan ketenangan.

Ada juga masa kita berduka, sedih dan merana. Kala itu, hati serasa luruh. Bagaikan tiada kemanisan untuk terus hidup. Masa depan jadi gelap gelita.

Sangat menakutkan.

Kepedihan akan bergema.

Kepayahan terpercik ke segenap ruang.

Ketika itu, hanya mereka yang gagah hatinya akan bangun daripada kejatuhan.

MENGAKU KALAH BUKAN PILIHAN KITA


Dalam menghadapi semua jenis kehidupan ini, yang kebanyakannya manusia mengatakan dipenuhi kesuraman, hanya mereka yang berasa asing dengan istilah putus asa sahaja yang terus bergerak menjadi hebat.

Bukankah Thomas Elbert Edison tersalah sebanyak beribu kali sebelum mentolnya menyala?

Bahkan Konstantinople (Istanbul) sebagai kuasa besar dunia pada suatu ketika ditundukkan Sultan Muhammad Al-Fatih selepas cubaan demi cubaan yang dilakukan oleh umat Islam dalam bilangan yang bukannya sedikit, tetapi selama 800 tahun!

Itulah cerita orang-orang yang tidak mahu mengaku kalah.

Kisah kita bagaimana?

Apa kata kita mulakan kisah kita yang tersendiri. Kisah kita untuk diri kita tetap tinggi walaupun jatuh beribu kali.

‘Biar rebah tak akan menyerah’.

‘Kita ada Allah Maha Kuasa. Kita punya kuasa tenaga. Doa sebagai senjata. Umat Islam sentiasa boleh’.

KISAH ORANG BERIMAN. SIAPA PERCAYA?




Sebagai motivasi untuk memulakan kisah kita, apa kata kita renungkan sebuah cerita. Kisah manusia paling mulia bersama sahabatnya yang paling berat iman.

Kisahnya begini:

Ketika dalam perjalanan Hijrah nabi ke Madinah, baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam dan sahabatnya Abu Bakar Radiyallahu anhu duduk bersembunyi di dalam Gua Thur.

Namun pihak kafir Quraish mencari mereka sampai ke situ.

Ketika itu, Abu Bakar radiyallahu anhu yang melihat kaki-kaki Quraish ketika mereka sedang berdiri di muka gua itu menggeletar kerisauan.

Beliau yang bimbangkan nyawa Rasul berkata: "Demi Allah! Wahai Rasulullah, kalau salah seorang daripada mereka melihat ke tempat letak kakinya, nescaya dia akan melihat kita."

Tapi apa jawab baginda nabi?

Baginda bersabda dengan ucapan yang sangat meyakinkan hati-hati yang mendengar.

Sabda baginda kepada Abu bakar, “apa pendapat kamu, jika kita berdua dan yang Ketiganya adalah Allah!”

Maka inilah kisah mereka. Kisah orang beriman.

Siapakah yang mahu percaya?

“Kalau kamu tidak menolongnya (Nabi Muhammad) maka sesungguhnya Allah telahpun menolongnya, iaitu ketika kaum kafir (di Mekah) mengeluarkannya (dari negerinya Mekah) sedang dia salah seorang dari dua (sahabat) semasa mereka berlindung di dalam gua, ketika dia berkata kepada sahabatnya: Janganlah engkau berdukacita, sesungguhnya Allah bersama kita. Maka Allah menurunkan semangat tenang tenteram kepada (Nabi Muhammad) dan menguatkannya dengan bantuan tentera (malaikat) yang kamu tidak melihatnya dan Allah menjadikan seruan (syirik) orang-orang kafir terkebawah (kalah dengan sehina-hinanya) dan Kalimah Allah (Islam) ialah yang tertinggi (selama-lamanya), kerana Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.. Surah At-Taubah ayat 40.





Motivasi Untuk Berjaya

Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.
Selawat dan salam ke atas junjungan mulia Muhammad sallallaahu ‘alayhi wa sallam penghulu anbiya’ dan para rasul.

MERASA HAMBA

Ramai manusia yang ketika hidupnya, dia terlupa untuk merasa diri sebagai hamba. Sehinggalah akhirnya kematian datang menjemputnya, ketika itu penyesalan dengan darah mata sekalipun tidak lagi bermakna.


Mereka ini adalah manusia yang mata hatinya telah dihijab oleh Allah untuk nampak kejelasan tanda-tanda-Nya yang cerah. Kerana mereka sendiri sebelumnya telah menjauhkan diri dari landasan kebenaran. Firman Allah,

“Dan (sebaliknya) sesiapa yang berada di dunia ini (dalam keadaan) buta (mata hatinya) maka dia juga buta di akhirat dan lebih sesat lagi jalannya,”surah Al-Isra’ ayat 27.

REDHA TUHAN = BERJAYA

Kita selalu bertanya kepada diri dan orang lain. Kita tanya:

Minta berikan sedikit motivasi, jalan manakah yang paling dekat dengan kejayaan?

Maka saya ingin menyebut jawapan sebegini:

Kita hidup adalah untuk mencari redha Allah SWT. Maka, kejayaan kita yang sebenar adalah apabila segala sesuatu yang kita lakukan adalah untuk mendapat redha Allah SWT.

Pada saya, di sini letaknya motivasi kejayaan kita yang paling besar sebenarnya.

Motivasi yang meletakkan Tuhan sebagai batu asas akan menemui jalan kejayaan yang paling hebat, paling bermakna.

Selaklah sirah baginda nabi, lihatlah kepada para sahabat baginda, telitilah kisah hidup ulama-ulama kita yang terdahulu, yang mereka ini luar biasa bagus dan hebat sekali, kita akan dapati motivasi kejayan mereka adalah redha Sang Pencipta.

PESANAN DR. A’LI JUM’AH

Kerana itu, saya suka untuk sampaikan kepada semua satu petua yang disebut oleh Mufti Mesir, Dr. Ali Jum’ah ketika kuliah beliau di Masjid Al-Azhar semalam(Rabu 24 Mac).


Kata beliau, setiap pagi ucapkanlah Allahu Maksudi, Wa Redha hu Matlubi (Allah tujuanku, dan redha-Nya lah yang kuharapkan).

Baca ini 7 kali setiap pagi, dan kita insyaAllah akan bergerak untuk menjadi manusia yang lebih baik hari itu.

Kata beliau lagi, pengulangan sebanyak tujuh kali ini sebagai kita memperkuatkan keinginan kita.

Penegasan bahawa kita sememangnya hidup atas tujuan menjadi hamba Allah dan dalam hidup kita, yang kita cari hanyalah redha-Nya.

Maka, pasakkan di dalam jiwa, kita adalah hamba-Nya.

“Serta keredaan dari Allah yang lebih besar kemuliaannya; (balasan) yang demikian itulah kejayaan yang besar.” Surah At-Taubah ayat 72.






Rawatan Untuk Hati






Kadangkala hati kita ini berpenyakit tetapi kita langsung tak menyedarinya. Sakit yang dimaksudkan bukanlah sepertimana sakitnya ketika tahap kelajuan perkhidmatan jalur lebar yang kita gunakan tidak seperti yang dijanjikan ataupun sakitnya hati ketikamana pada hujung-hujung tahun begini syarikat kita bekerja tidak memberikan bonus. Sakit disini adalah berkenaan dengan rohani yang mana membenihkan perbuatan-perbuatan mazmuhah pada diri seseorang .Antara tanda-tanda yang menunjukkan bahawa hati kita sekarang ini berpenyakit ialah apabila beberapa sikap ini ada pada kita :
  • Buruk Sangka
  • Sombong
  • Mudah Marah
  • Riya’
  • Hasad Dengki
  • Munafik
  • Mengumpat
  • Bakhil
  • Berat untuk melakukan ibadah
Bila berbicara tentang permasalahan hati, tentu kita takkan lupa sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Sesungguhnya di dalam diri manusia itu ada seketul daging. Jika daging itu baik, maka baiklah seluruh anggota badannya tetapi seandainya daging itu rosak dan kotor, maka kotor dan rosaklah seluruh anggota badannya. Ketahuilah daging tersebut ialah hati”

Hadis direkodkan Bukhari dan Muslim daripada Nu’man bin Basyir.
Jika H1N1 merebak melalui virus maka hati-hati yang sakit juga disebabkan oleh virus-virus tersendiri. Antara virus yang dikenalpasti menjadi racun kepada hati ialah apabila kita berlebih-lebihan dalam pergaulan dimana kita melampaui batas sewaktu menutur kata sehingga tak berupaya mengawal lidah dari mengumpat, mengeji, memfitnah dan sebagainya.
Gagal mengawal pancaindera dari melihat perkara-perkara yang haram juga merupakan racun yang melumpuhkan hati. Begitu juga dengan kegagalan mengawal kehendak perut sehingga kita selalu berada di dalam keadaan kekenyangan. Cuba koreksi diri kita sekarang. Apakah virus-virus yang disebutkan ini telah menular dalam diri kita?
Jika ada , sebaiknya kita rawat secepat mungkin sebelum menjadi lebih parah. Disini ada sedikit tips dari Ustazah Cakar Harimau, Dato’ Siti Norbahyah Mahmood yang dipetik dari majalah Solusi (#8). Antara yang dianjurkan ialah :
Sentiasa Berbaik Sangka
Antara langkah berbaik sangka seperti hadapi kawan atau musuh dengan wajah yang tenang, gembira, sopan rela hati dan elakkan menyombong dan meninggi diri.
Buang Segala Sikap Hasad Dengki
Hapuskan sikap hasad dengki terhadap insan lain. Hidup tidak akan tenang selagi sikap mazmumah tersebut tertanam di dasar hati. Lihatlah orang yang sentiasa hasad dengki terhadap orang lain, akan menyebabkan orang itu sentiasa mencari jalan melakukan kejahatan kepada orang lain. Mereka suka mengumpat dan menjadi batu api.
Senyumlah!
Senyumlah agar dunia turut tersenyum kepada kamu. Namun, perlu diingat senyum itu memang sedekah tetapi janganlah disalahgunakan untuk memancing maksiat pula. Selain itu senyum juga meransang wajah sentiasa awet muda. Jadi, senyumlah selalu!
Gemar Menghadiri Majlis Ilmu
Orang yang gemar menghadiri majlis ilmu akan dirahmati Allah swt dan hidupnya sentiasa dinaungi para malaikat. Majlis ilmu seperti majlis zikrullah, majlis tilawah al-Quran, ceramah agama, multaqa’ ulama dan sebagainya.
Hiasi Diri Dengan Sikap Ikhlas
Ikhlas dalam mengerjakan ibadah dan kebajikan hanya kerana Allah swt serta mengharapkan keredaan-Nya. Jauhi dari mendambakan pujian atau kemasyhuran manusia. Niat yang benar menentukan keikhlasan kita.
Seorang ulama, Ibrahim Al-Khawas RA juga ada memberikan nasihat berkenaan kaedah untuk ubat hati: Nasihatnya berbunyi:
“ Sesungguhnya ubat hati itu ada lima perkara, maka ubatilah hati kamu dengan lima perkara tersebut. Pertamanya, bacalah Al-Quran dengan menghayati isi kandunganya. Kedua, mengosongkan perut dari terlalu kenyang atau berpuasa. Ketiga, bangun ( beribadat ) di waktu malam. Keempat, menghampirkan diri kepada Allah ( beribadat ) disepertiga malam dan yang kelimanya, sentiasa bersama-sama di dalam majlis orang-orang yang soleh ”.




Related Posts with Thumbnails